PATTANI: Sebutir bom buatan sendiri yang diletakkan di dalam sebuah kereta curi, meletup berhampiran Markas Polis Wilayah Pattani, di sini, hari ini menyebabkan tujuh anggota polis dan empat orang awam cedera.
Ketua Polis Pattani, Mejar Jeneral Thanongsak Wangsupa, berkata dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, bom buatan sendiri seberat 20 kilogram itu meletup di hadapan sebuah pondok berhampiran markas polis di wilayah selatan Thailand yang bergolak itu.
“Ledakan kuat bom itu turut memusnahkan dua buah kereta dan beberapa motosikal yang diletakkan berhampiran, selain menyebabkan kebakaran merebak pantas di beberapa kediaman di markas itu,” katanya pada media, hari ini.
Enam jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian susulan kejadian letupan itu dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya 40 minit kemudian.
Thanongsak berkata, kereta itu dilaporkan dicuri daripada pemiliknya, Somsak Dusadipiriya, 51, dalam satu kejadian pada jam 9.30 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, pemilik kereta berkenaan cedera ditembak sebelum kenderaannya dilarikan orang tidak dikenali. – BERNAMA
###
Dalam pada itu video berkaitan kes ini, di atas, yang dimuat naik di YouTube semalam mendakwa mangsa yang parah akibat letupan bom bukanlah 11 tetapi 12 orang yang terdiri daripada 7 polis, seorang askar dan 4 orang awam. Semoga insiden sebegini dijauhkan dari negara kita. – MYNEWSHUB.CCÂÂ