MUAR – Kementerian Kesihatan bercadang membangunkan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bersepadu bagi meningkatkan mutu perkhidmatannya di seluruh negara pada masa hadapan.
Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sistem itu yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion akan dibangunkan secara berperingkat, dengan asas awal projek dijangka dimulakan sebelum Pilihanraya Umum ke-14.
“Saya akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam masa terdekat kerana ia (cadangan) telah lama ditimbulkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan pelaksanaan Sistem Maklumat Farmasi (PhIS) di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
Katanya proses pembangunan sistem itu bukan mudah dan akan mengambil masa antara tiga dan lima tahun.
Dr Subramaniam berkata dengan adanya sistem itu, semua sistem sedia ada ataupun baharu yang berkaitan urusan pendaftaran, rekod pesakit dan lain-lain, akan digabungkan dan mampu dicapai dari mana-mana pusat kesihatan.
Ia sekali gus memudahkan pesakit kerana mereka tidak perlu membawa rekod perubatan lama ke tempat baharu jika dipindahkan atau dirujuk ke mana-mana hospital, katanya.
Dr Subramaniam berkata untuk fasa awal, sistem itu hanya melibatkan pusat perubatan milik kerajaan, namun pada masa hadapan ia akan diperluaskan ke pusat perubatan swasta.
Sementara itu, mengulas sistem PhIS hari ini, Dr Subramaniam berkata sistem berkenaan dibangunkan dengan 12 modul utama bagi memantau pengurusan ubat di hospital meliputi perolehan, mengoptimakan penggunaan sumber, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta keselamatan perubatan.
“Menerusi sistem itu data transaksi meliputi proses preskripsi, pemberian ubat dan lain-lain dikumpulkan dalam data ‘warehouse’ bagi membolehkan ia dianalisis untuk membantu menambah baik perkhidmatan secara keseluruhan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata bagi memendekkan proses menunggu penggunaan dewan bedah di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, beliau akan memohon kelulusan Kementerian Kewangan bagi menambah dua dewan pembedahan yang dianggarkan bernilai antara RM4 juta dan RM5juta. – BERNAMA