BACHOK – Empat nelayan warga Thailand ditemui selamat, manakala seorang masih hilang selepas bot yang dinaiki karam dipukul ombak besar di perairan Tok Bali di Pasir Puteh di sini, malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Azmi Osman berkata dalam kejadian 10 malam itu, bot terbabit dari Tak Bai, Thailand menghala ke Tok Bali.
Azmi berkata mangsa pertama Som Som Mai, 32, dari wilayah Udon Thani, Thailand menyelamatkan diri dengan berpaut pada pelampung dan dihanyutkan ke pantai Kampung Nipah di sini, ditemui selamat pada 6.45 pagi ini.
Mangsa kedua Sutad Yang Wai, 50, ditemui selamat pada pukul 9.50 pagi di Pantai Baharu di sini; mangsa ketiga Chen, 27, ditemui terdampar di Pantai Irama kira-kira 12 tengah hari.
Mangsa keempat dikenali sebagai Choi, 35, ditemui selamat di Pantai Damai pada pukul 12.30 tengah hari.
“Seorang lagi mangsa Makosem Dollah, 45, masih gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan,” katanya ketika ditemui di Kampung Nipah.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.56 pagi dan tiba di pantai Kampung Nipah pada pukul 9.04 pagi.
Pasukan mencari dan menyelamat diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok Penolong Penguasa Bomba Muhammad Khiru Yusoff.
Operasi itu disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). – BERNAMA
[wpdevart_youtube]eviN75NOrWU[/wpdevart_youtube]