TELUK INTAN – Agensi pelancongan dan pengembaraan di China kini giat merangka pakej pelancongan melawat Malaysia untuk jangka panjang buat rakyat negara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mah Siew Keong.
Beliau berkata pihaknya telah ke negara Tembok Besar itu dan mengadakan sesi dialog serta promosi bersama sebahagian masyarakat, kumpulan syarikat dan agensi pelancongan bagi menggalakkan kunjungan rakyat China ke Malaysia.
“Apa yang saya dapati, kebanyakan penggiat industri dan agensi pelancongan di negara itu berminat dan ada dari kalangan mereka telah mula merencanakan pakej pelancongan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menyedari hakikat tersebut, Mah mencadangkan supaya tempoh pengecualian visa kepada pelancong China dipanjangkan untuk melonjakkan lagi industri pelancongan seterusnya menyumbang kepada pendapatan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Jan lalu mengumumkan bahawa pelancong China tidak perlu mendapatkan visa untuk melawat Malaysia mulai 1 Mac hingga 31 Disember tahun ini yang mana tertakluk kepada syarat tertentu bagi tempoh kunjungan tidak melebihi 15 hari.
Menurut Mah tempoh sembilan bulan pengecualian visa berkenaaan tidak mencukupi memandangkan 50 peratus daripada pelancong China berkunjung ke luar negara adalah untuk membeli belah.
Pelanjutan pengecualian visa juga dapat membantu kerajaan mencapai sasaran 8 juta pelancong China ke Malaysia setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang, katanya.
“Kita mempunyai kelebihan untuk menarik kunjungan pelancongan dari China kerana kita boleh berkomunikasi dengan mereka menggunakan bahasa sama,” katanya.
Mah berkata langkah pemberian visa percuma kepada pelancong China juga dipraktikan oleh beberapa negara serantau termasuk Thailand yang terbukti berkesan dalam meningkatkan kedatangan pelancong negara itu. – BERNAMA