KOTA KINABALU – Vokalis kumpulan The Majistret, Akim Ahmad dan penyanyi Stacy sah bergelar sebagai suami isteri selepas mereka bedua selamat dinikahkan pagi 5 Februari 2016.
Majlis akad nikah tersebut yang berlangsung sederhana di Hotel Shangri La Tanjung Aru di sini pada pukul 10.15 pagi, berwalikan abang Stacy sendiri iaitu Mohd. Adam Hakimi Anam.
Akim dan Stacy menggayakan busana berona berwarna putih, hasil rekaan oleh Raffiey Nasir. Pasangan mempelai itu saling memberi dan membalas sebanyak tujuh dulang hantaran.
Menurut laporan daripada Berita Harian Online, Stacy, atau nama rasmi Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam juga menerima mas kahwin sebanyak RM300.
Majlis pernikahan tersebut hanya diadakan secara sederhana dan tertutup dengan dihadiri oleh teman rapat serta ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak, menurut laporan portal itu lagi.
Akim menyarungkan cincin campuran emas putih dan kuning bertatahkan lima permata tajaan Rings and Bands. Pasangan itu telah bertunang pada 26 September lalu. – Agensi/Myewshub.cc/HAA