KANGAR – Program dan aktiviti kerjasama antara Bekas Ahli 4B Alumni dan generasi belia perlu diaktifkan supaya persefahaman dan hubungan akrab antara dua generasi terus subur.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata generasi belia adalah pewaris kepimpinan negara maka mereka perlu terdedah dengan kempimpinan melalui tauladan menerusi aktiviti yang dianjurkan secara bersama.
“Misalnya melalui aktiviti kemasyarakatan dan sukarelawan dalam pelbagai bidang kerana melalui cara itu mereka akan lebih menghayati keperluan negara dan mendekati orang ramai,” katanya selepas merasmikan Persidangan Agung Dwi Tahunan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Alumni Negeri Perlis Kali Ke-5/2016 di Hotel Putra Regency di sini Selasa.
Mengenai kebakaran rumah panjang di Taman Pelangi, Kuala Perlis di sini semalam, Azlan berkata sebuah penempatan baharu akan dibina secepat mungkin untuk didiami oleh lebih 60 penghuni terlibat.
“Kita akan selesaikan masalah ini dengan kadar segera. Setakat ini kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan berbentuk makanan dan keperluan harian kepada mangsa semalam dan segala bentuk bantuan lain akan disalurkan secepat mungkin,” katanya.
Azlan turut memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis untuk mendapatkan semula dokumen penting mereka yang telah musnah seperti kad pengenalan, sijil kelahiran, lesen memandu dan akaun bank daripada agensi yang berkenaan. – BERNAMA