ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah menahan sebuah bot kelas A bersama dua nelayan warga Thailand kerana membawa dua kilogram daun ketum dan 10 botol ubat batuk berhampiran pantai Kuala Kedah, dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Maritim Pangkalan Kuala Kedah Let. Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, bot dalam keadaan mencurigakan itu ditahan berhampiran 3.0 batu nautika barat dari pantai Kuala Kedah kira-kira 2.30 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan tidak mempunyai lesen bot dan permit kerja mengikut Akta Perikanan 1985 manakala kedua-dua nelayan, masing-masing berusia 19 dan 28 tahun hanya memiliki dokumen memasuki negara, namun tidak mempunyai permit kerja.
“Pasukan kami menggeledah bot terbabit sebelum menemui dua kilogram daun ketum yang disembunyikan bersama 10 botol ubat batuk disyaki untuk kegunaan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua nelayan bersama bot, kemudiannya dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA