KUALA LUMPUR – Penyanyi rock terkenal kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya pada 2014.
Awie, 48, berpakaian sut dan berseluar jeans membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.
Awie yang juga merupakan hos dalam slot bual bicara di sebuah rancangan televisyen, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap bekas isterinya Rozana Misbun, 38, di kaunter PNB Jalan Tun Razak, di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 4 Julai 2014, Awie mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun 2014, di Mahkamah Majistret Ampang, di sini.
Mahkamah Majistret Ampang menetapkan 25 Feb ini bagi sambung bicara kes itu. Seramai lapan saksi termasuk Rozana telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Namun peguam Hazman Harun yang mewakili Awie memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM1,000 memandangkan anak guamnya itu memberi kerjasama ketika siasatan selain jaminan tersebut hanya memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah pada setiap tarikh yang ditetapkan.
Majistret Husna membenar tertuduh dijamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 25 Feb ini untuk sebutan semula kes. Keluarga Awie membayar jaminan tersebut.
Rozana yang merupakan adik kepada pelakon Haliza Misbun, bernikah dengan Awie di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.
Awie pernah mendirikan rumah tangga dengan Arni Nazira Anuar, seorang penyanyi, namun bercerai pada 16 Okt 2006 dan hasil perkahwinan itu, mereka mempunyai dua orang anak iaitu Putri Aleeya Antasha, 16, dan Putri Aleefa Antasha, 14. – BERNAMA