SEREMBAN – Sejumlah 184 mangsa dipindahkan ke dua buah pusat pemindahan sementara di Gemenceh dan Air Kuning Selatan, Gemas, setelah rumah mereka dinaiki air kira-kira 1.2 meter berikutan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis, kesemua mangsa dipindahkan pada pukul 12 tengah malam tadi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan.
Ketika dihubungi Bernama hari ini, beliau berkata anggota dari Balai Tampin membantu memindahkan 80 mangsa yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mohd. Taha di Gemenceh manakala anggota dari Balai Gemas pula memindahkan 100 mangsa dari Air Kuning Selatan yang ditempatkan di balai raya Kampung Parit Buloh.
“Pada pukul 7 pagi tadi, kami memindahkan empat orang daripada sebuah keluarga di Air Kuning Selatan ke pusat penempatan sementara,” katanya.
Dalam pada itu, Norazam menasihati penduduk supaya segera berpindah ke pusat penempatan sementara sekiranya hujan lebat berterusan yang dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya banjir kilat.
“Di pusat penempatan sementara, Jabatan Kebajikan Masyarakat membantu menyediakan makanan dan keperluan lain,” katanya.
Beliau berkata jalan raya di kawasan sekitar pada masa ini masih boleh dilalui semua kenderaan. – BERNAMA