JOHOR BAHRU – Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) maut selepas kereta yang dipandunya terbabas melanggar pembahagi jalan di KM99.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara berhampiran Yong Peng, dekat Batu Pahat, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Din Ahmad berkata dalam kejadian pada kira-kira 3 petang itu, SD Mohammad Johari Yasin, 44, yang juga seorang kontraktor meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kejadian berlaku ketika SD Mohamad Johari bersama rakannya, Noorazly Ja’Alam, 41, dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Johor Baharu menghala ke Kuala Lumpur.
“Dipercayai SD Mohamad Johari telah hilang kawalan terhadap kereta Mercedes Benz E250 itu lalu melanggar besi pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kemalangan dalam keadaan hujan renyai-renyai itu, SD Mohamad Johari mengalami cedera parah manakala Noorazly hanya cedera ringan.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk bedah siasat dan Norazly turut mendapat rawatan di hospital sama. – BERNAMA