MERSING – Selepas tujuh hari dilaporkan hilang, empat sahabat ditemui meninggal dunia di dalam kereta yang terjunam ke dalam sungai berhampiran ladang kelapa sawit di Felda Tenggaroh di Kilometer 42, Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini, pagi Rabu.
Kereta Honda Accord bernombor pendaftaran JEB 9978 itu kebetulan ditemui oleh beberapa pekerja ladang berkenaan pada 9.20 pagi sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan M. Kumar ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata terdapat empat mangsa dalam kereta dan mayat dibawa ke Hospital Mersing, untuk tindakan selanjutnya.
“Kita masih lagi menjalankan siasatan dan akan mendapatkan keterangan daripada keluarga remaja berkenaan selepas membuat pengecaman.
“Berdasarkan siasatan awal pihak polis percaya kereta itu terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya.
Empat sahabat itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam, Johor Bahru ke Terengganu untuk pergi bercuti.
Mereka yang berusia 21 tahun ialah Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.
Mereka bertolak dari Seri Alam, di sini kira-kira jam 9.30 malam Rabu lalu dan dipercayai melalui jalan Johor Bahru-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk ke lokasi percutian yang masih belum diketahui lokasinya secara tepat.
Bagaimanapun, selepas dua jam bertolak kira-kira jam 11.30 malam mereka gagal dihubungi melalui talian telefon bimbit. – myMetro Online