BEIJING – Pihak berkuasa China mengesahkan penemuan kes virus Zika pertama yang dibawa masuk ke negara itu lewat Selasa iaitu hari kedua sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut agensi berita Xinhua, ia mencetuskan kebimbangan semakin memuncak ekoran virus yang kian pantas merebak dan dikaitkan dengan kecacatan kelahiran bayi, yang kebanyakannya dilaporkan di Amerika Latin.
Meskipun hanya segelintir kes jangkitan dibawa nyamuk itu dilaporkan di Asia, namun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sudahpun mengisytiharkannya sebagai keadaan darurat sejagat bagi membasmi virus Zika.
Ia setelah kes jangkitan menular di negara-negara lain yang jauh daripada benua Amerika Selatan antaranya Indonesia dan Thailand yang lazim dilanda deman denggi akibat nyamuk aedes, serangga sama untuk Zika.
Para pegawai kesihatan di China berkata, seorang lelaki berusia 34 tahun disahkan dijangkiti virus tersebut setelah beliau pulang dari Venezuela pada 28 Januari dan melaporkan demam, sakit kepala dan berasa mabuk.
Lelaki itu, yang berasal dari daerah Ganxian di wilayah tenggara Jiangxi, kini beransur pulih, menurut Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Kesihatan Negara seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Xinhua.
Pesakit berkenaan dilaporkan sempat lagi transit melalui Hong Kong dan Shenzen ketika dalam perjalanan pulang sebelum dia dikuarantin serta dirawat di sebuah hospital di Ganxian sejak 6 Februari.
Suruhanjaya kesihatan tersebut menyatakan, lelaki tempatan berkenaan bagaimanapun tidak menimbulkan risiko yang tinggi bagi menyebabkan virus menular, tambah agensi berita tempatan itu.
Virus Zika dikaitkan dengan peningkatan jumlah kelahiran bayi di Amerika Latin yang disahkan mengalami mikrosefali – iaitu saiz kepala dan otak bayi yang lebih kecil daripada biasa.
Setakat ini, 26 buah negara sudah pun mengesahkan kes virus itu malah berpuluh-puluh rakyat di benua Eropah dan Amerika Utara yang pulang dari negara-negara terjejas juga diuji positif.
Brazil yang dalam persiapan sebagai tuan rumah Sukan Olimpik adalah negara paling teruk terjejas akibat wabak Zika dengan lebih 20,000 kes dilaporkan dan ini termasuk ke atas lebih 2,000 wanita hamil.
Thailand dan Indonesia juga melaporkan satu kes di negara masing-masing namun para pakar kesihatan memberi amaran bahawa sesetengah negara Asia mudah terdedah kepada virus Zika.
Pihak WHO menyatakan bahawa virus Zika boleh menjangkiti sehingga empat juta orang di Amerika Latin dan ia juga boleh merebak ke seluruh dunia. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA