KUALA LUMPUR – Cuaca di seluruh negara diramalkan baik dengan hanya satu dua tempat mengalami hujan atau ribut petir semasa sambutan Tahun Baharu Cina pada Isnin dan Selasa depan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam portalnya melaporkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan beberapa bahagian di Sarawak dan Sabah akan mengalami hujan di satu dua tempat pada sebelah pagi bagi kedua-dua hari itu.
Pada sebelah petang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang serta beberapa bahagian di Sarawak dan Sabah akan mengalami hujan serta ribut petir di satu dua kawasan.
Tempat-tempat lain tiada hujan, menurut portal itu.
Pada malam Isnin pula, portal itu menyatakan, cuaca adalah sama seperti sebelah petang. Pada malam Selasa, Perak, Selangor dan beberapa bahagian di Sarawak akan mengalami hujan sementara cuaca di kawasan-kawasan lain diramalkan baik.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai cuaca pada musim perayaan Tahun Baharu Cina boleh melayari portal MetMalaysia www.met.gov.my atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638.- BERNAMA