JOHOR BAHRU – Empat lelaki termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 21 tahun dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Terengganu pada 10 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, mereka ialah Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.
Katanya, empat sekawan itu bertolak dari Seri Alam, Pasir Gudang pukul 9.30 malam pada 10 Februari dengan menaiki kereta jenis Honda Accord bernombor pendaftaran JEB 9978.
Kata Wan Ahmad lagi, mereka yang dikatakan mahu pergi bercuti di Terengganu bagaimanapun gagal dihubungi oleh keluarga selepas tempoh dua jam bertolak dari Seri Alam.
“Mereka dipercayai mungkin mahu menggunakan laluan Mersing-Rompin untuk menuju ke lokasi percutian di Terengganu.
“Mereka masih tidak dapat dikesan. Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kumpulan remaja lelaki itu agar tampil menyalurkan maklumat ditalian 07-2212999 atau 07-3864222,” katanya. – myMetro Online