GEORGE TOWN – Pemain bola sepak Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri yang menjaringkan gol menarik menerusi tendangan percuma yang mendapat perhatian dunia, hari ini menerima insentif RM10,000 daripada kerajaan negeri.
Mohd Faiz berkata sumbangan itu adalah bonus dan suntikan semangat untuk beliau meningkatkan permainannya.
“Saya bersyukur dengan perhatian atau publisiti yang saya dapat sekarang, tapi apa yang lebih penting adalah untuk saya fokus kepada latihan menghadapi perlawanan akan datang,” katanya yang tidak menyangka akan mendapat perhatian dan penghargaan sedemikian.
Cek disampaikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada majlis ringkas di pejabatnya di sini. Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff dan ketua jurulatih, Jacksen F Tiago.
Nama Mohd. Faiz menjadi sebutan di seluruh dunia selepas beliau menjaringkan gol yang cantik melalui sepakan dari jarak 35 meter, yang melencong masuk ke gawang Pahang dalam perlawanan Liga Super Selasa lepas.
Gol itu yang membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang FC 4-1 telah mencuri tumpuan dunia termasuk beberapa portal antarabangsa.
Menurut portal berita British Independent (www.independent.co.uk), jaringan itu berkemungkinan akan memenangi Anugerah FIFA Puskas 2016 sebagai ‘Gol Terbaik Tahunan.’
Sementara itu, Guan Eng berkata pemberian berkenaan adalah sebagai pengiktirafan kerajaan negeri kepada pemain yang mengharumkan nama Pulau Pinang dan negara. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]3vcDELWnKwg[/wpdevart_youtube]