IPOH – Graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Ungku Omar di sini yang menghidap kanser tulang tahap empat sejak November lepas meninggal dunia awal pagi tadi.
Abu Ammar Mustaqim Abu Bakar, 22, meninggal dunia kira-kira pukul 5 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
Menurut bapanya, Abu Bakar Ali, 52, Abu Ammar dimasukkan ke hospital pukul 10 malam tadi selepas bengkak di tangan kirinya mula mengeluarkan darah serta wajahnya mula pucat.
“Apabila melihat muka dia pucat kami terus bawa dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan pada pukul 3 pagi, dia mula tak sedarkan diri.
Graduan Kejuruteraan Mekanikal Derita Kanser Tulang
Namun, anak saya disahkan meninggal kira-kira pukul 5 pagi dan sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah kelihatan sangat letih,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Abu Bakar berkata jenazah anaknya disembahyangkan di Masjid As-Syakirin, Kampung Tersusun, Tasek di sini sebelum dibawa ke Kampung Bukit Sungai Tong, Setiu, Terengganu untuk dikebumikan.
Sehubungan itu, beliau turut meminta orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan dan derma kepada Abu Ammar Mustaqim agar tidak berbuat demikian memandangkan anak sulungnya itu telah meninggal dunia.
Sementara itu, rakan Abu Ammar Mustaqim, Saidatul Nazimah Md Zarawi, 22, berkata arwah yang dikenalinya sejak sembilan tahun lepas merupakan seorang rakan yang baik serta ceria.
“Sewaktu dia sakit, rakan-rakan sering datang ke rumahnya untuk bagi semangat pada dia. Dia ada juga minta kami belikan makanan kegemarannya seperti murtabak, spageti atau sushi.
“Saya nampak arwah berjuang melawan penyakitnya. Namun, Allah lebih sayangkan dia,” katanya.
Kisah penderitaan Abu Ammar Mustaqim mendapat perhatian meluas media di sini kerana kematiannya berlaku kurang daripada 24 jam selepas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Rusnah Kassim menziarahi arwah di kediaman keluarganya di Anjung Bercham Elit semalam.
Penyakit Abu Ammar Mustaqim mula dikesan selepas terjatuh ketika bermain futsal April lepas dan selepas melakukan pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Hospital Pantai Ipoh doktor mengesahkannya menghidap kanser yang jarang ditemui pada manusia. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]p_zSfzq9cAU[/wpdevart_youtube]