Teheran – Televisyen kebangsaan Iran melaporkan, kereta api komersial China pertama tiba di Teheran semalam dalam usaha menghidupkan semula Laluan Sutera, rangkaian perdagangan kuno yang merentasi Asia.
Timbalan Menteri Pengangkutan Iran, Mohsen Pourseyed Aghaie berkata, kereta api membawa 12 kontena itu tiba di Teheran selepas perjalanan 14 hari dari timur China.
Katanya, pengangkutan rel itu menjimatkan waktu transit berbanding perjalanan melalui laut dari Shanghai ke pelabuhan di Iran.
Sehubungan itu, katanya, Iran merancang memperluas laluan itu ke Eropah.
Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata, negara itu akan meneruskan hubungan baiknya dengan Timur walaupun mengorak perjanjian dengan negara Barat seperti Perancis serta Itali. – AP/BH ONLINE