KANGAR – Seorang guru maut manakala anaknya cedera dalam kemalangan di Kilometer 8, Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, DSP Zaini Talib berkata kereta yang dipandu Wan Nooraseniyah Wan Abdullah, 34, telah melanggar sebatang pokok semasa dalam perjalanan pulang daripada mengajar.
Katanya, guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Kodiang, Kedah itu mengalami cedera parah dan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini malam tadi.
Manakala anaknya Zulwafiy Amsyar Zulhimi, 7, mengalami cedera ringan di tangan kiri dan kini sedang dirawat di HTF, katanya.
“Siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang semalam, kereta Proton Wira yang dipandu Wan Nooraseniyah hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kiri dan melanggar pokok serta remuk teruk,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, suami mangsa, Zulhilmi Zainol, 35, ketika ditemui Bernama di rumah keluarga mertuanya di Kampung Behor Lateh di sini berkata beliau mendapat panggilan daripada pihak bomba memaklumkan tentang kejadian tanpa mengetahui yang isterinya sudah meninggal dunia.
“Masa saya terima panggilan, saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah kami di Taman Jali, kemudian terus bergegas ke HTF untuk tengok keadaan isteri dan anak saya.
“Langsung saya tidak menyangka yang dia telah pergi meninggalkan saya dan tiga orang anak kami,” katanya.
Zulhilmi bagaimanapun berasa lega apabila anak sulungnya, Zulwafiy Amsyar yang ada bersama isterinya ketika kemalangan, masih selamat walaupun bersedih mengenangkan nasib diri dan dua lagi anaknya Lutfi Hadi, 5, dan Zulfayad berumur 13 bulan.
“Saya tak tahu nak fikir apa, paling menyedihkan bila melihat anak bongsu kami Zulfayad yang masih menyusu badan ,†katanya.
Zulhilmi yang bekerja sebagai pegawai kastam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Durian Burung, Kedah berkata buat sementara waktu anak-anaknya akan dijaga sendiri dengan bantuan ibunya di Behor Gandil di sini.
Jenazah mangsa selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Behor Lateh jam 11.00 malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA