BRASILIA – Brazil akan menggunakan sinaran gamma pada jutaan nyamuk jantan bagi memastikan ia tidak subur dalam usaha menghalang penularan virus Zika.
Digelar irradiator, peranti itu pernah digunakan untuk mengawal lalat buah di pulau Madeira di Portugis.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkata, ia akan menghantar peranti itu ke Juazeiro, di negeri Bahia sebaik kerajaan Brazil mengeluarkan permit import.
“Ia adalah kaedah mengawal kelahiran, serupa dengan perancangan keluarga bagi manusia,” kata Pakar Biologi Molekul dengan makmal kawalan serangga perosak IAEA, Kostas Bourtzis.
Brazil bergelut membasmi Aedes yang menjadi penyebab wabak denggi dan baru-baru ini, Zika.
Wabak baharu itu menakutkan pelancong untuk mengunjungi bandar raya Rio de Janeiro sempena kejohanan Olimpik, Ogos ini. – REUTERS/BH ONLINE