SEPANG – Jenazah pelajar Malaysia Muhamad Aaron Maseri yang maut dalam kemalangan kereta api di Marble Arch Tube Station, London, Isnin lepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Jenazah yang tiba melalui penerbangan Malaysia Airlines pada 7.19 pagi kemudiannya dibawa ke Masjid Sultan Abdul Samad (Masjid KLIA) untuk disembahyangkan.
Jenazah pelajar Middlesex University, London itu yang diiringi anggota keluarga, disambut pegawai Wisma Putra dan sanak saudara.
Van yang membawa jenazah dilihat meninggalkan kompleks KLIA pada 9.35 pagi dan tiba di Masjid KLIA kira-kira sepuluh minit kemudian.
Imam Masjid KLIA Ismail Morodzi mengetuai solat jenazah yang turut disertai anggota keluarga, rakan serta jemaah masjid.
Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara dekat sini untuk dikebumikan.
Muhamad Aaron, 22, maut selepas dirempuh kereta api bawah tanah Central Line pada 6.26 petang waktu tempatan Isnin lepas (2.29 pagi Selasa waktu Malaysia), iaitu waktu puncak, semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya. – BERNAMA