Jakarta – Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) tidak berani menegur Menteri Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Puan Maharani yang menasihatkan rakyat miskin supaya berdiet dan mengurangkan makan.
“Jokowi tidak akan berani menegur Puan,†kata pemimpin parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Desmond J Mahesa kelmarin.
Desmond berkata, hanya ibu Puan yang juga Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Megawati Soekarnoputri yang boleh menegurnya.
“Saya berpendapat yang berani memberi peringatan hanya Megawati, itu pun kalau dia seorang ibu yang baik,†katanya.
Katanya, Puan tidak pernah merasa susah kerana dilahirkan dalam keluarga yang kaya.
“Kalau Puan pernah merasai kesusahan sudah pasti dia tidak meminta orang miskin berdiet dan mengurangkan makan,†jelasnya.
Puan mengeluarkan kenyataan itu ketika menghadiri majlis menyalurkan bantuan beras kepada penduduk miskin di Bali baru-baru ini.
Sambil berseloroh, Puan meminta rakyat miskin untuk diet dan tidak makan terlalu banyak.
“Jangan makan terlalu banyak, tidak apa kalau diet sedikit,†katanya. – Agensi/myMetro Online