LANGKAWI – Pasukan mencari dan menyelamat yang diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menemui bot membawa pemancing yang sebelum itu dilaporkan karam berdekatan Pulau Payar dekat sini malam tadi.
Bagaimanapun, jumlah pemancing yang diselamatkan lebih tinggi daripada yang dilaporkan sebelum ini.
Pengarah Operasi APMM Wilayah Utara, Kapten Maritim Salim Ahmad berkata beliau menerima laporan 19 orang diselamatkan dari bot berkenaan kira-kira pukul 2.30 petang ini, dan jumlah itu lebih tinggi berbanding 15 orang yang dilaporkan sebelum ini.
BERKAITAN: 15 Pemancing Hilang Selepas Bot Karam Di Pulau Payar
“Kita dapat mengesahkan kesemua mangsa telah berjaya diselamatkan dan telah dipindahkan ke bot-bot nelayan yang mengikuti operasi, untuk dibawa ke Kuala Kedah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Bagaimanapun, katanya, masalah gangguan komunikasi dengan pasukan operasi itu menyukarkan usaha mengenal pasti jumlah sebenar pemancing menaiki bot itu yang karam kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Payar pukul 10.30 malam.
Menurutnya bot yang karam itu berjaya ditimbulkan dan sedang ditunda ke Langkawi dan ia akan mengambil masa kira-kira empat jam. – BERNAMA