WASHINGTON DC – Pakar arkeologi antarabangsa mengenal pasti tiga petak tapak perkuburan Islam di selatan Perancis yang dipercayai sebagai tertua pernah ditemui di benua Eropah, berusia seawal abad kelapan Masihi.
Rangka-rangka manusia di sebuah lokasi kubur lama zaman pertengahan di Nimes ditemui menghadap ke arah Makkah, Arab Saudi dan analisis genetik menunjukkan keturunan sebelah bapanya adalah dari Afrika Utara.
Perkara cukup mengejutkan pakar seluruh dunia itu didedahkan menerusi satu kajian diterbitkan dalam portal jurnal penyelidikan terbesar di dunia PLOS ONE yang sebelumnya dikenali sebagai Public Library Of Science.
Ujian radiokarbon menunjukkan tulang-tulang manusia tersebut berkemungkinan daripada abad ketujuh atau kesembilan sekali gus menunjukkan jenazah berasal pada zaman penaklukan Eropah oleh tentera Islam masa itu.
“Kami percaya mereka orang Barbar yang pernah menyertai pasukan tentera Arab ketika perkembangan pesat ajaran Islam disebarkan melalui rantau Afrika Utara menuju ke Andalusia (kini Sepanyol),” menurut kajian itu.
Dapatan terkini itu menambah dimensi baharu kepada pengetahuan tentang era tersebut, yang sebelum ini terhad kepada pendedahan menerusi buku-buku sejarah lama dan segelintir sahaja data arkeologi tapak purba.
Perancis hari ini terdiri daripada lebih dua juta umat Islam termasuk pendatang dengan memiliki sejumlah 2,500 buah masjid sekali gus menjadikan negara itu paling ramai didiami oleh masyarakat Muslim di benua Eropah.
“Kami tahu orang Muslim datang ke Perancis pada abad kelapan, tetapi sehingga sekarang kami tidak ada bahan yang membuktikan demikian,” kata Yves Gleize, penulis utama kajian itu kepada agensi berita antarabangsa AFP.
Beliau yang juga saintis antropologi di Institut Nasional Perancis bagi Kajian Arkeologi Pencegahan berkata, kawasan perkuburan tersebut pertama kali ditemui pada 2006 lalu berhampiran jalan raya utama di Nimes.
Ia dijumpai secara kebetulan ketika sekumpulan pekerja projek pembinaan tempatan sibuk melakukan kerja pengorekan untuk mewujudkan sebuah ruang garaj tempat letak kereta bawah tanah di kawasan berkenaan.
Analisis teliti yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu menunjukkan jenazah-jenazah lelaki dalam perkuburan tersebut diletakkan di sebelah kanan menghadap arah Makkah, menurut cara pengebumian lazim ajaran Islam.
Mayat-mayat berkenaan dipercayai seseorang yang mungkin berusia 20-an ketika meninggal dunia manakala seorang lagi dianggarkan berusia 30-an dan jenazah ketiga berumur dalam lingkungan umur lebih 50 tahun.
Tulang-tulang mereka bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang tanda luka kecederaan pada tubuh akibat pertempuran yang berlaku pada zaman tersebut. Ketiga-tiga kubur itu terletak 2.5 meter antara satu sama lain.
Sebuah lagi perkuburan Islam lama pernah ditemui di Marseille, namun ia berasal dari abad ke-13 dan sebuah tanah perkuburan masyarakat Muslim dijumpai di Montpellier yang mungkin berasal dari abad ke-12.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA