GEORGETOWN – Segala usaha mencegah denggi perlu dipertingkatkan kerana mampu mengurangkan risiko penularan jangkitan virus Zika, kata Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) S.M Mohamed Idris.
Beliau berkata masyarakat dan pihak berkuasa perlu memberi perhatian serius dengan bekerjasama melakukan aktiviti menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes secara tetap dan berkala.
“Orang ramai diminta memainkan peranan dan bersatu hati membersihkan kawasan premis dan kejiranan masing-masing serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“SAM percaya, majoriti masyarakat sedar tentang bahaya denggi, namun tahap kesedaran mengenai punca berlakunya kes-kes sedemikian masih kurang memuaskan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata tinjauan dijalankan SAM di beberapa kawasan seperti taman perumahan, bangunan kedai, taman permainan dan tempat pembinaan mendapati punca berlakunya wabak denggi disebabkan air bertakung berikutan sistem perparitan kurang memuaskan serta longgokan sampah.
Mohamed Idris berkata SAM memandang serius masalah denggi yang melanda beberapa negeri termasuk Pulau Pinang apabila laporan menunjukkan statistik kes demam denggi di negeri ini, meningkat dari 2,558 kes pada 2014 kepada 5,430 kes tahun lepas.
“Peningkatan secara drastik kes denggi amat membimbangkan tatkala dunia dikejutkan dengan penularan virus Zika yang disebarkan melalui nyamuk Aedes. SAM memandang serius masalah ini kerana virus Zika merebak begitu pantas di benua Amerika,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]IS98Cq6j8cc[/wpdevart_youtube]