BUTTERWORTH – Seorang lelaki Indonesia maut apabila kereta yang dipandunya terhumban ke dalam longkang besar di Jalan Tun Hussein Onn berhampiran bulatan Seberang Jaya di sini hari ini.
Lelaki yang hanya dikenali sebagai Musairin, 35, itu ditemui lemas setelah terperangkap di dalam kereta Proton Iswara yang dipandunya.
Jurucakap polis berkata kereta dari Lebuhraya Utara Selatan arah Permatang Pauh menghala susur keluar menuju Lebuhraya Butterworth-Kulim itu dikatakan terbabas sebelum terhumban ke dalam longkang besar pada pukul 1.15 tengah hari.
“Mangsa yang bekerja sebagai kontraktor gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap di tempat duduk pemandu dan mayatnya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat,” katanya di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]Ag7N5m5h8iA[/wpdevart_youtube]