Penyampai stesen radio popular HotFM, Khairu Norliza Khairudin atau Liza, menamatkan zaman bujangnya bersama jejaka idamannya iaitu Mohd. Khairil Anuar Mohd. Ghany.
Ia berlangsungdalam majlis ringkas, di Rumah Tamu Sri Gelora, Kuantan, Pahang pada 27 Februari 2016.
Mereka berkenalan pada penghujung 2014 ketika Liza diundang menjadi pengacara sebuah majlis hiburan di Melaka, yang kemudian ternyata membibitkan rasa cinta antara mereka.
Liza yang merupakan juara program realiti, Projek Metro, berasal dari Kuantan bertunang dengan lelaki pilihannya itu yang berasal dari Gombak, Selangor pada 10 Oktober tahun lalu.
Pasangan merpati dua sejoli ini dinikahkan oleh Imam Masjid Sungai Soi, Mohd. Asri Abu Bakar di hadapan lebih 50 tetamu, pada pukul 9.55 pagi.
Liza yang tampil cantik mengenakan sepasang persalinan berona putih mengesat air mata sejurus lafaz nikah selesai disahkan, menandakan kegembiraan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata, hanya air mata yang berbicara.
Tahun ini, genap tiga tahun Liza berkhidmat bersama stesen radio yang sudah pun mencecah usia sedekad itu.
Turut hadir semasa upacara tersebut berlangsung adalah Fara Fauzana dan Fizee HotFm.
Pada kesempatan ini, MYNEWSHUB mengucapkan tahniah serta mendoakan semoga Liza bahagia melayari bahtera yang baru dibina bersama suami tercinta dan semoga berkekalan sehingga ke syurga.– MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=GhO-46FM2Rs]