MISTERI sebuah kereta yang tersadai lebih tiga bulan di parkir gedung peruncitan Walmart di California, Amerika Syarikat akhirnya terjawab apabila mayat seorang wanita dijumpai dalam kenderaan tersebut.
Pekerja Walmart pada mulanya menganggap kereta Volkswagen berwarna kelabu itu sengaja ditinggalkan terbiar oleh pemiliknya.
Namun, hal itu terbongkar apabila seorang pelanggan mengintai dan terlihat mayat wanita dikenali sebagai Lauren Jessie Moss dalam kereta berkenaan.
Mengikut rekod, Lauren hilang dari sebuah pusat pemulihan dadah sejak 13 November tahun lalu.
Menurut pihak polis, kereta itu menggunakan tinted yang sangat gelap sekali gus sukar untuk melihat keadaan di dalamnya.
Menurut ibu mangsa, Lauren sebelum ini pernah meninggalkan nota bunuh diri dan antara barangan yang dijumpai dalam kereta itu ialah jarum suntikan yang digunakan untuk mengambil dadah.
Pihak polis masih dalam proses autopsi bagi menyiasat punca kematian dan tidak menolak kemungkinan mangsa membunuh diri. – MYNEWSHUB.CC