Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Amira Tidak Berdendam Dengan...

PENYANYI dan pelakon, Amira Othman sejujurnya mengakui tidak pernah ada sekelumit dendam mahupun...

Polis Akan Dedah Siapa...

KUALA LUMPUR - Bukit Aman hari ini menafikan dakwaan video viral bahawa dua...

Rasuah: Pegawai Imigresen Dan...

IPOH - Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Perak bersama tiga individu lain yang...

Peruntukan Besar Sekolah Agama...

ALOR GAJAH - Peruntukan besar untuk sekolah agama, tahfiz dan pondok dalam Bajet...

Salleh Keruak Selar ‘Kewartawanan Tidak Bertanggungjawab Oleh WSJ

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak hari ini menyelar Wall Street Journal (WSJ) kerana mengamalkan apa yang beliau sifatkan sebagai kewartawanan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata serangan berterusan WSJ terhadap Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berdasarkan dakwaan tidak berasas dan sumber tanpa nama yang menurutnya mungkin tidak langsung wujud.

“…ini contoh klasik kewartawanan tidak bertanggungjawab yang ekstrem. Ia menjadi semakin jelas bahawa WSJ telah membenarkan dirinya untuk digunakan sebagai saluran bagi kempen Anti-Najib,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Memberikan contoh artikel terbaru disiarkan WSJ, beliau berkata akhbar itu membangkitkan dakwaan lama tentang siasatan Switzerland ke atas kononnya syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB, tetapi gagal untuk menyebut fakta bahawa Peguam Negara Switzerland telah menjelaskan bahawa Perdana Menteri tidak terlibat langsung.

“Mereka mendakwa kononnya ‘seorang pegawai Saudi berkata kementerian kewangan dan kementerian luar negara itu tidak tahu menahu mengenai sumbangan berkenaan dan pemindahan wang ke dalam akaun bank peribadi seorang pemimpin asing tidak pernah berlaku sebelum ini’ – langsung tidak mempedulikan hakikat bahawa Menteri Luar Saudi telah menyatakan yang sumbangan itu memang datang dari negaranya!

“Kenapa WSJ tidak menghiraukan butiran penting seperti ini, yang amat mustahak terhadap mana-mana laporan tidak berat sebelah mengenai berita ini? Sebab mereka tidak berminat untuk menjadi tidak berat sebelah, apatah lagi untuk mematuhi etika dalam kewartawanan. Mereka amat komited – sama ada untuk ditipu atau kerana mahu mengikut agenda mereka sendiri – bagi memburuk-burukkan Malaysia dan kerajaan yang dipilih secara demokrasi,” katanya.

Katanya WSJ juga mendakwa kononnya mendapat tahu daripada ‘seorang menteri kabinet’, ‘seorang pegawai Saudi’ dan versi laporan interim Ketua Audit Negara ‘tahun lepas’ yang mereka dakwa dibocorkan kepada mereka tetapi tidak menunjukkan bukti terhadap dakwaan itu.

“Di mana bukti semua ini? Bagaimana untuk kita tahu yang orang berkenaan wujud? Bagaimana kita tahu bahawa laporan itu tulen dan bukan palsu?” soal Menteri.

Salleh memetik apa yang dikatakan oleh Margaret Sullivan, editor New York Times yang bertanggungjawab mengenai standard: “Tidak menamakan sumber merupakan pilihan terakhir. Editor mempunyai peranan di sini…dalam memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan bahan daripada sumber-sumber yang tidak dikenali, terutama yang menggunakan petikan, bagi disiarkan. Pembaca berhak untuk membantah apabila mereka melihat sumber yang tidak dinamakan yang tidak sepatutnya diterbitkan.”


Beliau menegaskan selain daripada Tony Pua daripada DAP, semua orang yang dipetik dalam artikel WSJ itu tidak dinamakan.

“Menyebut suatu sumber tanpa nama merupakan etika kewartawanan paling teruk. Jadi mengapa editor-editor WSJ membenarkan perkara ini? Tiada apa yang berlaku secara kebetulan pada akhbar seperti WSJ,” katanya.

Salleh berkata rakyat Malaysia tidak harus membenarkan diri mereka dikelirukan oleh propaganda, pembohongan dan kempen memburuk-burukkan menerusi penyamaran jijik sebagai berita.

“Cerita sebenar mengenai Malaysia adalah berbeza – kedudukan ekonomi baik, walaupun dalam keadaan ekonomi global tidak menentu.

“Perdana Menteri mempunyai perancangan, dan ia berjalan dengan baik. Sebagai contoh, Tabung Kewangan Antarabangsa baru-baru ini memuji kerajaan kerana menjaga keselamatan negara dengan mengekalkan kestabilan, dan mengatakan bahawa ‘ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi yang baik’. Dan baru semalam Fitch (Rating Inc) mengesahkan Malaysia berada pada tahap ‘A-‘ dengan prospek stabil.

“Mengapa perkara ini tidak disebut dalam artikel terbaru WSJ? Sebenarnya ia tidak begitu menyenangkan bagi WSJ. Agenda anti-Malaysia mereka menjadi lebih jelas setiap hari,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori