KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkongsi perasaan sedih dan merakamkan takziah kepada mangsa banjir di Sarawak yang kehilangan anggota keluarga atau harta benda akibat bencana alam itu.
Beliau berkata kerajaan akan terus memberikan semua bantuan yang perlu kepada mangsa banjir terutama dari segi keperluan asas seperti makanan.
“Saya berkongsi perasaan sedih mereka yang kehilangan ahli keluarga dan harta benda akibat banjir di Sarawak. Salam takziah dari saya dan keluarga,” tulis beliau di laman Facebooknya hari ini.
Katanya, kerajaan akan mengenal pasti kesan bencana itu kepada penduduk setempat dan akan membantu mereka yang terjejas supaya dapat meneruskan kehidupan seperti biasa setelah banjir reda.
Setakat tengah hari tadi, sebanyak 6,203 mangsa banjir di Sarawak iaitu di bahagian Kuching, Serian dan Samarahan masih ditempatkan di 36 pusat pemindahan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]ZEl1oPspUR8[/wpdevart_youtube]