BATU PAHAT – “Niatnya hanya untuk menasihati dan tidak sangka pula ia mendapat perhatian ramai hingga menjadi viral di laman sosial,†kata Alias Mohd. Zain.
Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Batu Pahat itu mengulas isi kandungan unik pada salah sebuah papan tanda didirikan JKR yang terletak di Jalan Bakau Condong, di sini.
Gambar papan tanda yang memaparkan nasihat kepada golongan wanita Muslimah yang tidak mahu bertudung itu menjadi viral menerusi laman sosial sejak beberapa hari lalu.
Menurut Alias, papan tanda berkenaan sebenarnya dinaikkan sejak Januari lalu dan niat untuk memberikan nasihat itu tercetus secara spontan apabila melihat kedudukannya yang agak strategik.
Ia sebenarnya secara kebetulan terletak antara laluan utama kenderaan ke arah pusat bandar Batu Pahat.
“Pada awalnya papan tanda itu digunakan untuk menyalurkan maklumat mengenai program dijalankan sekitar daerah ini namun kadangkala ia terbiar kosong.
“Oleh itu, lebih baik ia diisi dengan ayat berbentuk nasihat yang mungkin boleh dijadikan pedoman dan peringatan kepada orang ramai terutama pengguna jalan raya.
“Malah, Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda iaitu, ‘Sampaikanlah daripadaku walau hanya satu ayat’,†katanya. – myMetro Online