KUALA LUMPUR – Pakar bedah neuro (neurosurgeri), Datuk Prof. Dr. Ahmad Zubaidi A.Latif dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang baharu bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Yahya Ibrahim.
Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Ahmad Zubaidi bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa 1 Februari 2016 hingga 31 Januari 2019.
“Ahmad Zubaidi merupakan salah seorang pakar bedah neuro (neurosurgeri) yang termashyur di Malaysia. Dilahirkan pada 30 April 1961 di Pekan Bukit Payung, Kuala Terengganu. Beliau bekas pelajar Malay College Kuala Kangsar, Perak dan merupakan doktor kelulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Pada tahun 1992, beliau menjadi Felo Royal College of Surgeons, Edinburgh dan menerima ijazah sarjana perubatan (surgeri) daripada Universiti Malaya (UM) pada tahun 1993,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Ahmad Zubaidi pernah berkhidmat lebih 30 tahun di Hospital Kuala Terengganu, Hospital Daerah Kemaman, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Sg. Buloh dan Hospital Sultanah Nor Zahirah.
“Pada tahun 2014, beliau merupakan ketua neurosurgeri di Institut Kanser Kebangsaan, Putrajaya dan Hospital Kuala Lumpur. Di peringkat antarabangsa, beliau pernah menjadi konsultan dan felo di United Kingdom, Australia dan Jerman,” kata kenyataan itu lagi.
Tambah kenyataan itu, Ahmad Zubaidi pernah juga menjadi koordinator program akademik neurosurgeri Kementerian Kesihatan, pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), UM dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau juga merupakan ahli panel penilai bagi penganugerahan geran penyelidikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Antara tahun 2007 hingga 2013, beliau merupakan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UniSZA dan pada tahun 2013 dilantik sebagai Pengarah, Pusat Pembangunan Hospital UniSZA. Pada tahun 2015, beliau memegang jawatan Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Pemandu Pembinaan Hospital Pengajar UniSZA.
“Pengalaman Ahmad Zubaidi dalam bidang pentadbiran, perubatan dan penyelidikan serta keterlibatan dalam aktiviti kemasyarakatan menjadikan beliau calon yang sesuai untuk memimpin UniSZA ke tahap yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu. – mynewshub.cc