SEREMBAN – Kerajaan Negeri akan memantau aktiviti operasi mengangkut bahan batuan dan galian bagi memastikan ia tidak melanggari permit yang dikeluarkan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata berdasarkan permit, operasi pemindahan atau pengangkutan bahan tersebut tidak boleh dijalankan pada hari minggu dan hari kelepasan am, bagaimanapun ia dilaporkan masih lagi berlaku.
Beliau berkata disebabkan pejabat kerajaan tidak beroperasi pada hari minggu dan cuti am, maka apabila aktiviti itu dijalankan pada hari berkenaan, kerajaan berkemungkinan besar akan kehilangan sumber pendapatan atau kehilangan hasil apabila jumlahnya tidak dapat dipantau dan dikira.
“Jadi ia perlu diperbetulkan… penguatkuasaan perlu dijalankan dalam memastikan aktiviti itu tidak menyebabkan negeri kehilangan sumber pendapatan dan dalam masa sama ia juga tidak menjejaskan operasi industri tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, Rabu.
Mohamad berkata perbincangan dengan pihak terbabit bagi menyelesaikan perkara itu akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan lain, Mohamad turut menasihatkan orang ramai agar tidak menjadi mangsa aktiviti pertukaran mata wang asing tidak berlesen yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
“Saya nasihatkan orang ramai jangan mudah terpesona dengan mereka yang menggelarkan diri sebagai pakar pertukaran mata wang asing. Anda kalau tidak tahu apa yang dilakukan akhirnya nanti akan menyebabkan anda menjadi mangsa dan kerugian,” katanya.
Terdahulu, Mohamad menyampaikan sumbangan bantuan pelajaran, perubatan, bencana alam dan aktiviti amal kepada beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan serta individu.
Beliau turut menerima kunjungan pendaki solo ke Gunung Everest, Lee Chong Meng, yang berasal dari Port Dickson.
Lee, 68, bakal membuat pendakian solo ke Gunung Everest bermula April ini dan dijangka pulang pada Mei. – BERNAMA