KUALA LUMPUR – PAS mengakui kerajaan bukan sengaja mahu membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh ke negara ini, tetapi bagi memenuhi permintaan piham industri ke atas pekerja kategori sektor ‘3D’ – ‘dangerous’, ‘difficult’ dan ‘dirty.
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, industri pembinaan dan sektor pertanian amat memerlukan tenaga buruh maka kerajaan Malaysia mengambil tenaga buruh asing dari Bangladesh.
“Permintaan guna tenaga yang tinggi amat diperlukan dalam semua sektor ekonomi negara. Sarawak juga tidak terlepas dari masalah kekurangan tenaga buruh terutama dalam sektor pertanian dan juga industri pembinaan.
“Banyak projek-projek baharu yang memerlukan tenaga buruh yang mahir dan separa mahir dalam bidang tersebut. Walaupun ada juga penduduk tempatan yang bekerja dalam bidang tersebut tapi ianya amat sedikit,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jofri menjelaskan, masalah tenaga buruh berlaku kerana kebanyakan warga tempatan terutama graduan lepasan pendidikan tinggi lebih suka bekerja ditempat yang berhawa dingin dibanding dengan bekerja dibawah terik matahari.
“Ini adalah antara masalah yang menyebabkan mereka kurang berminat untuk bekerja sebagai tenaga buruh walaupun sekarang ini untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat swasta dalam bidang pentadbiran pun susah kerana kebanyakan syarikat memerlukan tenaga mahir dalam bidang industri,” katanya.
Beliau bagaimanapun melahirkan kebimbangan pengambilan tenaga buruh asing yang terlalu ramai boleh menjejaskan keselamatan negara.
Menurutnya, warga asing yang datang beramai-ramai dikhuatiri boleh menubuhkan kumpulan atau persatuan diantara mereka yang boleh menyebabkan mereka jadi berani bertindak sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi suatu hari nanti.
Justeru, katanya, PAS Sarawak mengesa kerajaan pusat mengkaji semula pengambilan buruh asing datang ke Malaysia dengan pengambilan yang terhad agar peluang rakyat Malaysia untuk bekerja tidak terjejas dengan kedatangan mereka yang terlalu ramai. – mynewshub.cc