SUNGAI PETANI – Seorang pegawai Imigresen maut selepas motosikal Yamaha FZ150i yang ditunggangnya terbabas di Batu 10 Jalan Jeniang-Gurun, di hadapan sebuah stesen minyak, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa berkata dalam kejadian pada 12.35 itu, Muhammad Amzar Norani, 21, sedang dalam perjalanan dari Jeniang ke Gurun, telah hilang kawalan dan terbabas sendiri.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA