NEW YORK – Pelakon Hollywood dan pereka terkenal, Waris Ahluwalia mendakwa bahawa beliau tidak dibenarkan menaiki sebuah pesawat dari Mexico City ke New York kerana enggan menanggalkan sarbannya.
Pelakon dilahirkan di Punjab, India sebelum pindah ke New York semasa usia lima tahun itu merupakan penganut agama Sikh, yang secara tradisi, mewajibkan pemakaian sarban dan melarang penganutnya mencukur janggut.
Ahluwalia berkata dalam kejadian pada 8 Februari itu, beliau dalam perjalanan untuk ke Minggu Fesyen New York yang bermula lusa, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City, apabila diminta menanggalkan sarbannya.
Menerusi catatan dalam laman Instagramnya: “Kepada Minggu Fesyen NYC, saya mungkin datang sedikit lewat kerana @aeromexico (syarikat penerbangan terbabit) tidak benarkan saya naik pesawat dengan memakai turban.
“Harap anda tidak mulakan acara tanpa saya. #lovenotfear #fearisanopportunitytoeducate,” tulis beliau. Syarikat penerbangan Aeroméxico bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk memberikan sebarang komen rasmi.
Ahluwalia yang kini berusia 41 tahun itu pernah terkenal menerusi filem hebat arahan sutradara Wes Anderson termasuk ‘The Grand Budapest Hotel’, ‘The Darjeeling Limited’ dan ‘The Life Aquatic With Steve Zissou.’
Beliau yang ada dwikerakyatan India-Amerika Syarikat (AS) juga dipilih mengiklankan kempen Gap Inc. pada 2013, apabila aktor ini bergambar bersama-sama dengan pembuat filem dan pelukis ilustrasi, Quentin Jones.
Selain itu, Ahluwalia juga mereka barang kemas di bawah jenamanya sendiri, House of Waris serta bekerjasama dengan pelbagai hotel dan restoran serta syarikat-syarikat pakaian dan cermin mata antarabangsa.
Dalam pada itu sebuah kumpulan hak asasi penganut Sikh dari New York, iaitu Sikh Coalition, menulis beberapa kicauan menerusi Twitter yang menyatakan sokongan padu kepada hak Ahluwalia untuk memakai turban.
Organisasi tersebut juga mendesak pihak pengurusan pesawat Aeroméxico supaya meminta maaf. Dalam wawancara bersama saluran berita India, NDTV menerusi telefon, Ahluwalia berkata ini satu isu lebih besar.
Ia tidak pernah diutarakan, kerana tiada sesiapa yang mengambil perhatian. Pelakon itu berkata beliau mahu syarikat Aeroméxico meminta maaf dan bersetuju untuk mendidik kakitangannya tentang agama dan amalan Sikh.
“Ini bukan tentang saya, atau penganut Sikh, tetapi tentang semua orang yang bukan warga Amerika kulit putih,” katanya yang memuat naik gambar di Instagramnya menunjukkan apa yang berlaku di lapangan terbang itu.
Ini termasuk satu catatan yang menyatakan, 13 jam selepas tidak dibenarkan menaiki pesawat itu, beliau masih berada di lapangan terbang dan menunggu syarikat penerbangan Aeroméxico meminta maaf kepadanya.
“Tiada seorang pun yang layak diberi layanan seperti yang saya terima pada hari ini,” catat Ahluwalia lagi sebagai meluahkan kekesalan beliau dalam Instagram tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
ÂÂ