KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan memberhentikan sementara pengambilan pekerja asing tidak akan menjejaskan bidang pembinaan termasuk pembinaan sistem Transit Aliran Massa (MRT) dan lebuh raya baharu.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata meskipun projek terbabit memerlukan tenaga kerja yang besar namun jumlah mereka yang ada di pasaran sekarang masih mampu menampung keperluan itu.
“Setakat ini memang ada kekurangan khususnya bagi buruh kasar, tapi kita perlu fokuskan apa yang dah ada dalam negara. Pertama kita guna pekerja yang telah berdaftar dan keduanya kita tumpukan dalam kalangan pendatang asing tanpa izin yang akan menjalani proses pemutihan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Persidangan Agung Tahunan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) kali ke-6 di sini, hari Sabtu.
Sebelum ini, kerajaan mencadangkan untuk membawa masuk tenaga kerja dari Bangladesh bagi memenuhi permintaan industri di negara ini yang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.
Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja oleh pihak industri.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata sekiranya pihak industri mendakwa mereka masih kekurangan tenaga buruh kasar maka bukti perlu dikemukakan.
“Ada kontraktor besar mengatakan ada kekurangan…tapi kita masih menentukan dengan melantik badan bebas untuk membuat kajian, setakat ini kita tak dapat menentukan berapa jumlahnya,” katanya.
Pada masa sama, Fadillah turut menegaskan bahawa pengambilan tenaga asing dihadkan pada peringkat buruh kasar sahaja, manakala bagi sektor yang memerlukan tenaga berkemahiran, keutamaan diberi kepada pekerja tempatan melainkan terdapat kekurangan.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga merupakan Presiden Gagasan berkata terdapat kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai penyebaran ancaman kumpulan pengganas Daesh di peringkat sekolah.
Justeru, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bagi mendapatkan maklumat berhubung ancaman keganasan itu sebelum pihaknya memberi penjelasan di sekolah. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]tCW_7GxY5dg[/wpdevart_youtube]