KOTA TINGGI – Seorang peneroka warga emas maut ketika cuba membuat pusingan U di Kilometer 63.5, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran simpang masuk ke Felda Pasak, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, Nasrun Hamzah, 70, yang memandu Proton Wira dari arah Sungai Rengit menghala ke Kota Tinggi dipercayai telah membuat pusingan U di jalan dua garisan berkembar dekat sini.
“Pada masa sama, sebuah lagi Proton Wira (warna merah) dari arah sama telah gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar bahagian sisi sebelah kanan kereta yang dinaiki mangsa.
“Akibat dari pelanggaran tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, pemandu Proton Wira berwarna merah, Rosaidin Mehat, 27, hanya mengalami kecederaan di bahagian muka dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut, katanya.
Rahmat berkata mangsa berasal dari Felda Air Tawar 3 manakala Rosaidin dari Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi di sini.
Beliau berkata ketika kejadian, cuaca adalah baik.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]8EsuQJ1SE10[/wpdevart_youtube]