BEIJING – Seorang penyanyi terkenal China ‘kantoi’ berpura-pura menyanyi dengan hanya menggerakan bibir ketika satu konsert disiarkan menerusi stesen televisyen tempatan apabila memegang mikrofon terbalik.
Sa Dingding, 32; penyanyi dan penulis lagu dari Inner Mongolia, mengadakan persembahan pada Gala Festival Tanglung disiarkan di saluran CCTV15 apabila kejadian memalukan itu berlaku, lapor People’s Daily Online.
Wanita ini membuka persembahannya dengan tarian sebelum bintang pop tersebut menyedari bahawa dia selama ini memegang mikrofon secara terbalik ketika ‘menyanyi.’
Rakaman video menunjukkan Sa tersenyum tersipu-sipu perlahan-lahan membetulkan pegangan mikrofonnya sebelum meneruskan persembahan seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Selepas persembahan berakhir, Sa menulis kepada 1.6 juta pengikutnya menerusi laman sosial Weibo – ‘Lain kali saya akan perbaiki kemahiran berlakon.’
Pengguna Internet bagaimanapun tidak terkejut kerana menganggap perbuatan itu sesuatu yang biasa dalam kalangan artis China sendiri. - AGENSI/MYNEWSHUB.CC