KUALA LUMPUR – Beberapa laman Facebook penyokong bola sepak Perak membuat permohonan maaf secara terbuka ke atas penyokong Selangor di atas kekecohan yang berlaku di Stadium Ipoh malam tadi.
Laman Facebook Perak The YOB dalam permohonan maaf mereka bagaimanapun berkata, kekecohan yang berlaku itu hanya disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab segelintir penyokong pasukan berkenaan.
“Maaf kepada penyokong selangor diatas kekecohan yang berlaku distadium perak kerana segelintir yang bangang habis semua terkena tempias dek kerana kecetekkan akal. Ini bukan budaya kita.
“Kita kene terima hakikat dengan apa jua keputusan. Admin wakil seluruh rakyat perak memohon maaf atas perkara yg berlaku. Harap perkara sama tidak berulang di masa akan datang. Bola sepak adalah penyatuan, bukan perpecahan,” kata laman Facebook itu hari ini.
Sebuah lagi laman Facebook penyokong Perak turut memohon maaf kepada penyokong Selangor dengan menegaskan insiden itu akibat sikap segelintir penyokong yang tidak berhemah.
Media malam tadi melaporkan seorang anggota polis dan dua penyokong Selangor cedera di kepala dalam kekecohan di luar Stadium Ipoh sejurus selepas tamat perlawanan Liga Super antara Perak menentang Selangor, malam tadi.
Kecederaan dialami akibat terkena balingan objek dipercayai batu, botol kaca dan botol plastik. Perak tewas 1-0 kepada Selangor dalam perlawanan itu.
Kekecohan dipercayai bermula selepas berlaku provokasi antara kedua-dua penyokong sebaik keluar dari stadium, disusuli tindakan memaki hamun sebelum kejadian membaling objek. – mynewshub.cc