Saturday, October 26, 2024

Creating liberating content

‘Pelamin Angan’ Musnah, Hanya...

Tidak semua beruntung merasai dan menikmati keindahan cinta sejati ala-ala kisah dongeng Cinderella.Ini...

Anak Jean-Claude Van Damme...

ANAK perempuan Jean-Claude Van Damme pun sudah sama hebat dengan bapanya sendiri! Masakan tidak,...

Barang Bundle: Bergaya Bro...

ANDA mungkin penggila jenama tersohor dunia. Tapi masalahnya bajet ciput. Jadi anda merasa hanya...

1,052,145 Individu Lengkap Dos...

KUALA LUMPUR - Seramai 1,052,145 individu telah menerima dos kedua vaksin Covid-19 setakat...

Pertambahan Pekerja Asing Wujudkan Risiko ‘Budaya Baharu’?

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk membawa masuk pekerja Bangladesh menerusi mekanisme Kerajaan Kepada Kerajaan Plus (G-To-G Plus) mengundang rasa tidak senang banyak pihak, meskipun langkah itu bertujuan memenuhi permintaan industri dan majikan.

Bermacam-macam pendapat dinyatakan melalui media arus perdana dan laman sosial terutamanya ‘kebimbangan’ akan implikasi dan risiko berikutan pertambahan jumlah pekerja asing yang begitu ramai, lebih sejuta orang.

Pertubuhan bukan kerajaan dan kesatuan sekerja memberikan pelbagai reaksi, dan tidak kurang juga yang mempersoalkan rasional kemasukan pekerja Bangladesh menerusi mekanisme G-To-G Plus itu.

Laporan berita pada 9 Februari memetik Setiausaha Kabinet Bangladesh, Mohammad Shafiul Alam bahawa kerajaan Bangladesh telah meluluskan draf penjanjian persefahaman (Mou) G-To-G Plus berhubung penghantaran 1.5 juta rakyatnya untuk bekerja di Malaysia.

Pada 11 Februari, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan bahawa angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendapat liputan meluas pihak media sebenarnya merupakan jumlah warga Bangladesh yang berdaftar dengan kerajaan negara itu untuk tujuan pekerjaan.

KDN menegaskan tiada angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan dalam lima sektor iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan semasa permohonan dibuat.

Pengambilan tidak akan dibuat secara serentak, sebaliknya dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

KUALITI BUKAN KUANTITI

Apa jua keadaannya, pelbagai kemungkinan implikasi daripada kemasukan pekerja asing tetap menjadi persoalan dan menimbulkan kebimbangan banyak pihak terutamanya berhubung kesan sosial terhadap rakyat negara ini.

Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata kerajaan harus memperhalusi keputusan itu bagi melihat kesan jangka panjang yang boleh mendatangkan risiko kepada warga tempatan.

Beliau berkata proses saringan adalah perkara wajib terhadap setiap warga asing yang ingin bekerja di Malaysia bagi memastikan mereka benar-benar berkelayakan.

“Sememangnya kerajaan akan melakukan proses saringan tetapi saya harap proses itu dijalankan dengan lebih teliti dan terperinci kerana kita tidak mahu mereka (pekerja asing) yang datang ke sini nanti mempunyai masalah-masalah yang boleh menjejaskan aspek keselamatan dan kesihatan rakyat tempatan.

“Kita tidak mencari kuantiti tetapi kualiti. Apa yang penting adalah kredibiliti dan keupayaan mereka untuk bekerja dengan produktif serta efisien kerana terbukti bahawa banyak masalah sosial berpunca daripada warga asing telah berlaku,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohamad Fazli berkata faktor tertentu perlu diambil kira sebelum melaksanakan proses pengambilan pekerja asing, antaranya adalah cabaran ekonomi semasa dan aliran keluar mata wang negara.

SOSIO-BUDAYA

Sementara itu, pakar Psikologi Kaunseling Univeriti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Fadzil Che Din berpendapat kebanjiran pekerja asing memberi kesan sosial kepada kehidupan rakyat tempatan.


Beliau berkata meskipun ada warga asing yang berpendidikan tinggi, cara hidup mereka yang berbeza boleh mengganggu corak kehidupan tempatan dan masyarakat tempatan berhadapan risiko interaksi sosial yang boleh memudaratkan pemikiran generasi akan datang.

Lebih menggusarkan, Mohamed Fadzil berkata apabila rakyat tempatan terpaksa menerima dan mempelajari budaya yang dibawa pekerja asing, sekali gus mempengaruhi sistem sosial dan budaya rakyat tempatan.

“Kemasukan lebih ramai pekerja asing dalam negara seolah-olah memberi ‘pengiktirafan’ kepada budaya mereka. Walaupun kemasukan mereka (warga asing) membawa kebaikan kepada pembangunan negara namun terdapat sesetengah pekerja asing membawa budaya buruk seperti isu kebersihan dan masalah perkahwinan campur yang boleh mewujudkan konflik.

“Tidak menghairankan jika kemungkinan pada satu masa nanti kita terpaksa menerima budaya ‘baharu’ sedangkan hakikatnya mereka (warga asing) sepatutnya menghormati budaya dan adat rakyat Malaysia,” kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM itu.

Beliau berkata kemasukan pekerja asing yang membawa budaya ‘baharu’ ke negara ini boleh mencetuskan kekeliruan kerana negara kini dalam proses mengenali pendidikan asas silang budaya, yang dicadangkan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

Pada 6 Februari lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pendidikan asas silang budaya diberi penekanan dalam sukatan pelajaran bermula daripada peringkat prasekolah ataupun tadika.

PENGUATKUASAAN

Mengupas daripada sudut keselamatan, penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata penguatkuasaan dan pemantauan undang-undang lebih tegas harus dilakukan kepada pekerja asing untuk mengelakkan perkara-perkara tidak diingini terutamanya melibatkan aspek keselamatan negara.

Beliau menegaskan kerajaan perlu meneliti rekod peribadi pekerja-pekerja asing agar mereka tidak terlibat dengan kegiatan jenayah yang boleh mengancam keamanan dan keharmonian negara.

“Kajian secara holistik harus dilakukan untuk mencari penyelesaian bagi mengenal pasti mengapa kita amat memerlukan pekerja asing sedangkan kita mempunyai tenaga buruh tempatan yang ramai. Kita tidak tahu jika ada dalam kalangan mereka (warga asing) yang mungkin mempunyai niat lain dan bukan sekadar untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya, Akhbar berkata masalah jenayah dan gejala sosial membabitkan warga asing bukan satu perkara baharu malah mereka berupaya membina kawasan penempatan sendiri menyebabkan rakyat tempatan berasa terasing.

“Majikan seharusnya memberi peluang kepada pekerja tempatan untuk berkhidmat di sektor mereka kerana jika warga tempatan tidak mempunyai pekerjaan, ia menyebabkan pengangguran dan timbul pula masalah jenayah.

Kalau majikan kita tidak membantu dan menyokong rakyat tempatan, siapa lagi? Di manakah nilai patriotisme sebagai rakyat Malaysia (untuk mengutamakan warga senegara),” soal beliau. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori