KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Setiausaha Kerja UMNO dan Barisan Nasional (BN) Datuk Yaakob Mohammad yang meninggal dunia awal pagi ini.
“Takziah kepada keluarga Datuk Yaakob Mohammad, bekas Setiausaha Kerja UMNO dan BN di atas pemergiannya pagi tadi. Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat sentiasa,” tulis Najib menerusi akaun Twitternya.
Yaakob, 67, meninggal dunia pada kira-kira 2 pagi tadi di Hospital Pakar KPJ Damansara, di sini akibat komplikasi paru-paru.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada kira-kira 10.30 pagi ini, selepas disembahyangkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.
Bagi tempoh 1991 hingga 1997, Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerja BN, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Alor Setar dan Ketua Biro Kebajikan dan Kemiskinan UMNO Alor Setar, selain menjawat jawatan Setiausaha Kerja UMNO bermula 1988.
Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerja BN bermula 1991 hingga September 2009 dan dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada 2002. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]v0ADotiTvUk[/wpdevart_youtube]