PADANG BESAR – Polis Perlis merampas 304 kg daun ketum bernilai RM34,320 yang diisi di dalam 11 guni putih dan 11 plastik hitam, dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran semalam.
Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata semasa polis membuat rondaan rutin di kawasan Kampung Melayu di sini pagi semalam, terdapat sebuah kereta Proton Wira hitam dipandu seorang lelaki telah berhenti di tepi jalan secara tiba-tiba.
“Dipercayai suspek cemas apabila melihat ada MPV polis sedang meronda di situ lalu bertindak meloloskan diri dengan meninggalkan keretanya di tepi jalan itu sebelum sempat dihampiri polis,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar di sini hari ini.
Apabila anggota peronda memeriksa kereta ditinggalkan suspek, polis menjumpai daun ketum yang dibungkus di dalam plastik dan guni disorokkan di tempat duduk depan, belakang dan di dalam bonet belakang kereta berkenaan, katanya.
Shafie berkata siasatan awal mendapati daun ketum itu cuba diseludup ke Thailand kerana harga pasaran semasa di negara itu adalah tinggi iaitu RM80 sekilogram.
Katanya kes itu merupakan rampasan terbesar polis setakat ini dan suspek dipercayai warga tempatan dalam lingkungan umur 30-an itu masih giat diburu.
Kes akan disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]h7u0p48D5A4[/wpdevart_youtube]