Monday, October 28, 2024

Creating liberating content

Malindo Air Pecat 17...

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan Malindo Air didakwa memecat seramai 17 pekerjanya selepas...

Cat Farish Bercerai, Akui...

RAPPER Cat Farish mendedahkan dirinya sudah kembali solo selepas bercerai April lalu. Cat juga...

Ibu Lari Tinggalkan Anak...

KESIAN…kanak-kanak ini, Hu Haoyang yang menghidap kanser menangis mencari ibunya diketika dia menjalani...

Bergurau Kata Lemaskan Dua...

HOUSTON - Seorang wanita membunuh dua anaknya yang masing-masing berusia lima dan tujuh...

Program Penggajian PATI Pantau Warga Asing

KUALA LUMPUR – Program Penggajian dan Penempatan Semula pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bakal menukar status mereka daripada haram kepada pekerja yang sah, adalah satu inisiatif pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengawal kebanjiran warga asing di Malaysia.

Meskipun ramai yang berasa sangsi dengan langkah itu dan hangat membincangkannya di media sosial dan beranggapan seolah-olah negara menerima kebanjiran PATI, kesatuan sekerja dan penganalisis ekonomi berpendapat langkah itu positif kepada negara.

Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Jan lepas, memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di negara ini, sekali gus memenuhi permintaan industri serta membolehkan kerajaan mengetahui jumlah PATI bagi tujuan pemantauan keselamatan.

Pada November 2014, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem mendedahkan, pekerja asing sama ada yang masuk secara sah atau haram dianggarkan berjumlah 6.7 juta orang. Daripada jumlah itu, hanya 2.1 juta orang sahaja yang mempunyai permit sah dan berdaftar dengan Jabatan Imigresen.

PEMANTAUAN PATI

Apakah implikasi yang bakal timbul dengan pelaksanaan program itu?

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdullah Sani Abdul Hamid berkata program itu adalah satu keperluan dan sebagai langkah berjaga-jaga kerajaan, memandangkan negara mengalami kebanjiran PATI yang tidak terkawal.

“Ini merupakan satu langkah penguatkuasaan yang baik kerana negara tidak mampu lagi menampung kemasukan pendatang asing yang tidak didaftarkan, malah mereka berani dan bebas bekerja.

“Maka, dengan adanya program itu, kerajaan dapat mengenal pasti jumlah sebenar PATI dan boleh memantau rekod, latar belakang dan menjejaki mereka sekiranya terlibat jenayah… kalau tidak dibuat, maknanya kita gagal sebagai negara penerima (pekerja asing),” katanya kepada Bernama.

Abdullah Sani tidak menafikan terdapat keburukan dan kelemahan timbul jika prosedur program itu tidak diselia secara baik dan saksama.

Ini termasuklah persaingan untuk memperoleh pekerjaan antara pendatang asing dan rakyat tempatan dalam pelbagai sektor, memandangkan majikan lebih cenderung memilih pekerja asing atas pelbagai faktor.

“Kita tidak mahu pekerja asing menggugat kestabilan dan peluang pekerja tempatan… dengan kadar pengangguran rakyat masa kini, tidak seharusnya pekerja asing bersaing secara gagah (mengatasi pekerja tempatan).

“Saya langsung tidak menyokong sekiranya pekerja asing bekerja di dalam sektor perkhidmatan kerana peluang dan keperluan itu sepatutnya diberikan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Abdullah Sani berkata kebanjiran pendatang asing tidak boleh dipandang ringan. Kerajaan perlu mengawal masalah yang membelenggu negara ini secara tuntas dan tegas bagi mengelakkan ia menjadi semakin parah.

“Hingga kini tiada siapa pun yang boleh memberi angka yang tepat kerana tiada data atau rekod mengenai mereka, malah sukar mengesan keberadaan mereka… ini perkara yang sangat serius,” katanya.

TAMBAH PENDAPATAN NEGARA


Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI itu mampu menambah pendapatan kepada negara, selain dapat mengumpul data bagi tujuan kawalan dan keselamatan.

“Kalau tiada langkah itu sekali pun, mereka yang tidak punya permit sah tetap akan bekerja secara haram… jadi sekurang-kurangnya negara tidak perlu mengimport pekerja asing kerana jumlah yang berdaftar nanti pastinya mencukupi.

“Sebelum ini PATI tidak membayar levi… selepas ini mereka perlu membayar levi yang turut menjadi perhatian dalam pengubahsuaian bajet,” katanya.

Shazali bagaimanapun khuatir program itu mungkin disalahgunakan dan dijadikan alasan untuk lebih ramai lagi PATI menyeludup masuk ke dalam negara.

“Takut sekiranya mereka (warga asing) yang lain beranggapan bahawa tidak menjadi masalah untuk datang ke negara ini secara haram kerana beranggapan Malaysia akan menerima dan menjadikan mereka sebagai pekerja sah.

“Masalah kita ialah kita banyak sangat bergantung dengan pekerja asing… Malaysia perlu cari dasar yang boleh mengurangkan jumlah mereka, bukan menambah lagi kehadiran mereka. Maka kerajaan perlu pastikan program itu nanti benar-benar membawa kebaikan berbanding keburukan,” katanya.

HADKAN BIDANG KERJA

Shazali mencadangkan satu undang-undang perlu digubal untuk menghadkan bidang pekerjaan yang boleh diceburi pekerja asing seperti perladangan dan pembinaan, tetapi tidak bagi sektor perkhidmatan.

Beliau berkata kerajaan juga mungkin boleh memperkenalkan satu dasar yang mewajibkan majikan mengambil dan mengutamakan pekerja tempatan dengan kuota tertentu, berbanding menggajikan pekerja asing.

Katanya ini penting bagi memastikan rakyat tempatan yang mencari pekerjaan tidak terpinggir, hanya kerana majikan memilih menggajikan pekerja asing berikutan faktor kos perburuhan seperti gaji yang jauh lebih rendah.

“Di sektor perkhidmatan misalnya, ramai pekerja asing menjadi juruwang, sedangkan ia boleh diisi oleh rakyat tempatan tetapi gaji minimum RM900 itu tidak mencukupi buat mereka… maka dasar perlu diubah kerana rakyat berminat untuk bekerja tetapi gaji pula terlalu rendah.

“Mungkin kerajaan boleh memperkenalkan insentif tertentu seperti pengurangan cukai kepada majikan yang menggajikan ramai rakyat tempatan di sektor tertentu bagi menggalakkan usaha seumpamanya di kalangan majikan lain,” katanya.

Shazali berkata kesannya untuk jangka masa panjang mampu mengurangkan wang daripada mengalir ke luar negara malah negara tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada pekerja asing. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]AUdkVsfRUn4[/wpdevart_youtube]

  • Lagi berita berkaitan:
  • Pati

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori