LEDANG – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menjadi korban pertama banjir di Johor apabila lemas ketika mandi di parit di Kampung Tanjung Labuh, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak Azhar Elmi Mustofar berkata remaja dikenali sebagai Abdul Hadi Abdul Hamid dipercayai lemas ketika mandi bersama-sama dua rakannya kira-kira jam 2.30 petang.
Beliau berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 2.53 petang telah menggerakkan sebuah jentera dan kenderaan utiliti bersama lapan anggota serta dua pegawai ke lokasi kejadian.
“Usaha mengesan dan mencari mangsa dilakukan jam 3.06 petang dan pada 3.14 petang, bomba berjaya menemukan dan mengeluarkan mangsa dari dasar parit sedalam kira-kira 3.6 meter,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Daerah Ledang dilanda banjir susulan hujan lebat semalam dan setakat 12 tengah hari ini, 59 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sialang Tengah di sini. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]WDHbs1hBH6k[/wpdevart_youtube]