ROMPIN – Seorang ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang menjadi tempat berteduh bersama lima lagi anaknya hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Garong, Tanjung Gemuk di sini semalam.
Ketika kejadian pukul 6 petang itu, mangsa Bashah @ Foziah Yahya, 41 bersama anak-anak dan abangnya Abd Rahim Mat Isa keluar mencari kerang di Pantai Mempisang kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya.
“Dalam perjalanan balik, saya terserempak dengan sebuah jentera kereta bomba dan memberi laluan kepadanya.
Apabila sampai di rumah saya terkejut rupa-rupanya rumah saya yang terlibat dengan kebakaran,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Berikutan kejadian itu beliau dan lima anaknya yang berumur dua tahun hingga 19 tahun kini tinggal sehelai sepinggang dan hilang tempat berteduh.
Bashah yang kematian suami dua tahun lepas akibat kemalangan jalan raya kini terpaksa menumpang sementara di rumah abangnya tidak jauh dari situ.
Sementara itu Abd Rahim berkata walaupun adiknnya kini tinggal sehelai sepinggang, namun beliau bersyukur kerana semua anak saudara dan adiknya itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Tak sangka kegembiraan kami mendapat kerang sehingga dua guni sebelum kejadian berakhir dengan tragedi ini. Namun kami reda dengan ujian Allah,” katanya.
Beliau mengharapkan ada pihak berkenaan sudi tampil memberikan bantuan kepada adiknya yang terpaksa menanggung empat anak masih bersekolah itu. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]sD-GZTu6ATg[/wpdevart_youtube]