JAKARTA – Penyanyi terkemuka Indonesia yang malar segar dengan lagu Kaulah Segalanya, iaitu Ruth Sahanaya, bakal mengeluarkan album terbaharunya yang ke-16 tidak lama lagi, menurut laporan portal Kapanlagi.com.
Ruth berkata, lagu-lagu dalam album terkininya itu kebanyakannya dicipta oleh ahli muzik baharu. Kali terakhir beliau pernah menghasilkan sebuah album solo ialah pada tahun 2010, sebuah album mini berjudul Thankful.
Namun, Ruth yang 1 September ini bakal mencecah usia 50 tahun menambah, salah sebuah lagu yang terkandung di dalam album tersebut begitu istimewa di hatinya kerana ia dicipta oleh sahabat karibnya sendiri, iaitu Titi Dj.
Lebih mesra digelar sebagai Uthe, lagu itu istimewa kerana dilhamkan hasil keharmonian paduan suara dengan suami dan juga aktor, Jeffry Waworuntu yang tahun ini menyambut ulang tahun ke-21 perkahwinan mereka.
“Senang sekali dapat lagu dari Titi, kerana Titi sendiri yang mahu cipta lagu untuk saya. Dia dapat inspirasi itu pun daripada hubungan saya dengan Jeffry yang sudah cecah 21 tahun,” jelas Ruth sewaktu ditemui di sini.
Penyanyi jelita kelahiran Bandung, wilayah Jawa Barat dan sudah pun memiliki tiga orang anak itu turut memuji sahabatnya, Titi kerana setiap kali mencipta lagu, dia sentiasa ada idea yang jauh berbeza-beza.
“Titi itu hebat kalau membuat lagu, punya warna yang berbeza-beza, orang kalau dengar lagu ini pasti tidak dapat mengagak lagu itu ciptaan siapa,” ungkap Ruth yang mula aktif dalam bidang seni suara sejak 1987.
“Kalau lagu misalnya Melly (Goeslaw) atau Yovie (Widianto) kan ia boleh diketahui. Namun kalau Titi tidak begitu, kerana dia sungguh hebat, lagu-lagunya juga amat sesuai dengan jiwa saya,” jelas Ruth lagi.
Sehingga kini, Ruth waima sudah hampir memasuki ‘usia emas’ tetapi masih dapat menyampaikan lagu-lagunya dengan baik, malah dapat lagi diterima oleh sebahagian besar golongan muda di Indonesia.
“Saya rasa saya masih lagi konsisten dan lagu saya pun masih diterima. Kalau baju misalnya, dapat bertahan lama. Masih boleh dinikmati oleh anak-anak sekarang,” tambah beliau secara berjenaka.
Bagaimanapun dalam album ke-16nya, penyanyi itu ingin mengetengahkan dirinya sebagai individu memainkan pelbagai peranan, antaranya, sebagai ibu, penyanyi ataupun seorang yang peduli terhadap sesama manusia.
“Maka, album ini sememangnya menonjolkan tentang sifat diri saya itu sekarang. Memang dalam 30 tahun saya berkarya sengaja ingin menonjolkan album di mana Ruth sebagai seorang ibu.
“Pada masa yang sama Ruth sebagai artis atau penyanyi dan Ruth yang sentiasa peduli akan sesamanya. Tema-tema ini yang akan dimasukkan ke dalam album saya itu,” katanya. - Agensi/Mynewshub.cc/HAA