GEORGE TOWN – Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (Kejara) perlu dikuatkuasakan serta merta bagi memastikan pengguna jalan raya lebih mematuhi undang-undang lalu lintas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Khalid berkata telah tiba masanya sistem yang diperkenalkan pada tahun 1984 itu dilaksanakan sepenuhnya sebagai pengajaran kepada pengguna jalan raya yang melanggar peraturan lalu lintas.
“Kita ada sistem ini (Kejara) tapi tidak dilaksanakan…saya rasa sampai masanya sistem itu dilaksanakan serta merta dan kita tidak hanya bercakap mengenainya. Kalau di negara lain bila sudah kena saman, lesen akan digantung serta merta.
“Saya yakin Kejara mampu membentuk dan menghalang pengguna jalan raya yang degil daripada terus melanggar peraturan lalu lintas serta mengurangkan kemalangan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurut portal Jabatan Pengangkutan Jalan di bawah sistem Kejara, mereka yang mengumpul 20 mata demerit atau lebih buat kali kedua akan digantung lesen memandu.
Lesen akan dibatalkan jika pemilik lesen masih melakukan kesalahan dan setelah tiga kali lesen pemandu digantung dalam tempoh lima tahun.
Sementara itu, Khalid berkata cadangan untuk menaikkan kompaun maksimum kepada pesalah trafik akan dihantar secara rasmi kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.
“Ini baru di peringkat cadangan dan belum secara rasmi, saya sebut hari itu untuk dengar pandangan daripada masyarakat dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan serahkan cadangan itu secara rasmi kepada kerajaan dalam tempoh terdekat…kali terakhir jumlah saman disemak ialah pada tahun 1987,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata Ketua Polis Kedah telah diarah untuk menjalankan siasatan rapi berhubung dakwaan seorang guru agama cedera di kepala dan tangan setelah dipukul, ditumbuk dan digari dua anggota polis di Balai Polis Gurun, Kedah Selasa lepas.
Beliau berkata jika disahkan ada salah laku di kalangan pegawai dan anggota polis dalam kejadian itu, pihaknya tidak akan melindungi mereka dan akan mengambil tindakan tegas.
Mohd Na’im Zakaria, 29, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Simpang 3, Sungai Daun mendakwa kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam selepas dia yang menunggang motosikal berkuasa tinggi ditahan anggota polis dalam sekatan jalan di hadapan balai itu. – BERNAMA