KOTA BHARU – Cuaca sejuk yang berlaku di jajahan Kuala Krai ketika ini adalah fenomena tahunan biasa berikutan pergerakan angin sejuk monsun timur laut.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Kelantan Maqrum Fadzli Mohd Fahmi berkata berdasarkan rekod jabatan, fenomena berkenaan berlaku sejak 1980 apabila monsun timur laut bertiup antara November dan Februari.
“Suhu terendah yang pernah dicatatkan setakat ini sejak 1980 adalah 16 darjah Celsius pada Feb 2014 manakala suhu terendah tahun ini (setakat hari ini) ialah pada Isnin (22 Feb) dengan catatan suhu, 19 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.
Akhbar hari ini melaporkan cuaca sejuk yang melanda jajahan Kuala Krai menyebabkan penduduk terpaksa memakai baju sejuk untuk melakukan aktiviti harian terutama pada waktu pagi selain keadaan persekitaran yang berkabus.
Maqrum Fadzli berkata cuaca sejuk antara 19 dan 22 darjah Celsius itu hanya berlaku pada Ahad hingga Selasa lalu dan boleh dirasai pada lewat tengah malam hingga awal pagi, sebelum suhu kembali normal antara 23 dan hingga 25 darjah Celsius semalam.
Beliau berkata pihaknya akan sentiasa melakukan pemantauan dan catatan suhu dari semasa ke semasa. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]La6gAEDKBFI[/wpdevart_youtube]