PENYANYI Taylor Swift menderma sebanyak RM1.05 juta (AS$250,000) dalam menyatakan sokongannya terhadap rakan artis, Kesha yang kini sedang berhadapan kes mahkamah berikutan dakwaan serangan seksual yang dihadapinya.
Taylor memberikan sumbangan itu atas dasar simpati dan bagi membantu Kesha dari segi kewangan bagi menghadapi saat-saat sukar ini.
Baru-baru ini, pihak mahkamah telah memutuskan bahawa penyanyi itu masih lagi bernaung di bawah syarikat rakaman gergasi, Sony biarpun pemilik label Kemosabe Records, Lukasz Sebastian Gottwald didakwa melakukan serangan seksual terhadap penyanyi yang terkenal dengan lagu Tick Tock itu.
Lukasz atau lebih dikenali sebagai Dr. Luke didakwa merogol Kesha pada 2006 dalam keadaan penyanyi itu di bawah pengaruh dadah yang diberikan olehnya.
Kesha yang menitiskan air mata sebaik mendengar keputusan itu mendapat sokongan daripada peminat seluruh dunia yang berasa simpati dengan nasibnya yang perlu bekerjasama lagi dengan orang yang telah merogolnya.
Antara rakan artis yang turut memberikan sokongan moral terhadap Kesha adalah Kelly Clarkson, Ariana Grande, Lorde, Lady Gaga dan Demi Lovato, yang mana masing-masing memberikan kata-kata semangat buat penyanyi berambut blonde itu. – MYNEWSHUB.CC