VOKALIS band Azlan & The Typewriter, Azlan kini mengambil pendekatan untuk tidak terlalu kerap muncul di televisyen bagi menampakkan diri lebih eksklusif di mata peminatnya.
Menurutnya, ini adalah satu strategi untuk terus kekal lama di dalam perniagaan industri seni muzik tempatan.
“Saya suka apabila nama saya sekejap tenggelam dan timbul. Dan tidak semua artis berani mengambil risiko seperti ini.
“Bagi saya ia adalah satu strategi untuk kekal menjadi sebutan ramai. Jika terlalu kerap muncul di televisyen, lama-lama orang bosan.
“Tambah pula sukar untuk seseorang artis mengekalkan momentum dalam industri,” katanya dipetik mStar.
Kelibat terbaharu Azlan boleh dilihat menerusi program realiti mingguan, Mentor Milenia yang bersiaran di TV3 setiap Ahad, jam 9 malam.
Azlan bersama-sama Akim Ahmad, Black dan Hazama merupakan mentor kepada dua protege masing-masing yang dalam misi bergelar juara Mentor Milenia.
Program yang dihoskan Marsha Milan dan Isey itu mendapat tajaan sepenuhnya dari pengasas produk kecantikan, Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman. – MYNEWSHUB.CC